Special Offer

Author

A Bukan Ukuran



KEJADIAN ini telah pun berlaku. Namun, parutnya masih berbekas terutama kepada ibu bapanya. Masyarakat pula terkejut dengan keputusan seorang kanak-kanak untuk menamatkan riwayatnya hanya kerana kecewa dengan keputusan peperiksaan.Tragedi menimpa keluarga G. Sivakumar, 36, apabila anak perempuannya, S. Subashini, dari Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Sempah dijumpai tergantung pada jeriji tingkap bilik tidurnya pada petang 17 November 2007.Subashini menggantungkan dirinya kerana merasakan dirinya seorang yang gagal. Beliau hanya berusia 12 tahun.


Pelajar tahun enam itu telah berjanji kepada keluarganya bahawa beliau akan membawa pulang sekurang-kurangnya empat A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan apabila keputusan diumumkan pada 15 November lalu, hatinya luluh.Membawa pulang 4B, 2C dan 1D, Subashini mula murung kerana tidak mendapat keputusan yang diharapkannya.Dengan nada sedih, ayah Subashini, Sivakumar yang merupakan seorang pekerja rendah awam Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) berkata:

“Saya tidak marah dia, saya beritahu dia keputusan itu sudah cukup baik kerana dia ambil tujuh mata pelajaran dan saya berjanji untuk menghantarnya ke kelas tuisyen Bahasa Malaysia pada tahun ini.

“Saya juga janji untuk beri satu cincin untuk setiap A yang dia dapat sebagai semangat untuk dia terus berusaha.”

Tambah beliau: “Selepas hari itu, dia nampak normal dan ceria macam biasa tetapi tidak sangka dia boleh ambil tindakan nekad dengan menggantung dirinya. Saya cukup sedih dan terkejut dengan tindakannya.”

Ditemui di dalam bilik tergantung oleh kakaknya pada kira-kira 1.40 petang, Subashini yang masih bernyawa dibawa dari rumahnya di kuaters Changkat Sungai Jawa, Nibong Tebal ke Hospital Sungai Bakap.Dia kemudiannya dibawa ke Hospital Seberang Jaya tetapi disahkan meninggal dunia pada pukul 4.05 pagi. Persoalannya, apakah yang mengakibatkan seorang kanak-kanak mengambil tindakan drastik sebegitu? Bagaimanakah keadaan kesihatan mental kanak-kanak di negara ini?Memetik kenyataan yang diutarakan oleh aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye dalam sebuah kolum di akhbar tempatan pada November lalu: “Laporan berita pada Oktober lalu menyatakan terdapat pertambahan melebihi 300 peratus kanak-kanak yang mendapat bantuan psikiatri sejak empat tahun lalu di Hospital Selayang.

“Mengikut laporan yang sama, seorang ahli psikologi Hospital Kuala Lumpur telah berkata, tekanan di sekolah dan di rumah menjadi antara penyebab peningkatan masalah mental.”

Beliau menambah, Hospital Kuala Lumpur contohnya melihat ramai kanak-kanak dan remaja bermasalah dan punca yang biasa dilihat ialah tekanan di rumah dan di sekolah.

“Pihak kami menerima banyak pesakit muda yang mempunyai kecenderungan untuk membunuh diri.

“Ada di antara mereka berjaya dipujuk dan diubah sikap negatif itu tetapi malangnya, ada yang terus murung dan mengambil jalan penyelesaian sendiri,” kata konsultan prinsipal psikologi dan ahli terapi nutrisi di Malaysian Psychology Centre Sdn. Bhd., Dr. Edward Chan ketika ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut beliau, punca masalah mental dalam kalangan kanak-kanak dan remaja berlaku tanpa disedari.
“Bukan sahaja masyarakat sekeliling yang mendorong perkara ini berlaku. Tanpa disedari, ibu bapa dan ahli keluarga juga menjadi penyumbang kepada tekanan yang dihadapi bagi golongan muda ini.
Katanya, kanak-kanak yang tertekan ini sebenarnya ingin menggembirakan orang lain, bukannya untuk kepuasan diri sendiri.
“Biasanya, mereka akan mengambil sesuatu langkah yang sebenarnya tidak mahu dilakukan tetapi terpaksa melakukannya untuk keluarga. Ini menyebabkan mereka murung,” kata Dr Chan sambil memberikan contoh gesaan ibu bapa agar anak mereka mengambil kursus atau kerjaya yang tidak diminati boleh menjadi antara punca anak-anak diserang kemurungan.
Tambah beliau, penekanan masyarakat kepada pencapaian dan kejayaan akademik juga memberikan kesan kepada kanak-kanak dan remaja.
“Kegagalan untuk mencapai satu keputusan memberikan impak bahawa seorang kanak-kanak itu tidak bijak dan dilihat sebagai suatu yang negatif.
“Walhal, terdapat banyak perkara yang mengukur kejayaan, bukan sahaja dari segi akademik seperti keupayaan bertutur dengan baik (verbal), fizikal seperti berbakat dalam sukan dan kebolehan visual seperti kreativiti,” kata Dr Chan sambil menegaskan masyarakat seharusnya peka akan kejayaan-kejayaan seperti itu dan bukan hanya tertumpu pada keputusan peperiksaan sahaja.
Sehubungan itu, Dr Chan memaklumkan bahawa ibu bapa seharusnya peka terhadap keperluan personaliti dan minat anak-anak.
“Ini dapat membantu anak-anak mengenal pasti potensi sebenar diri mereka dan bergerak ke arah yang diminati tanpa adanya tekanan tambahan,” katanya lagi.
Selain itu, Dr Chan menambah, pada era moden ini, ibu bapa juga lebih cenderung melindungi anak-anak daripada dibelenggu kegagalan.

“Ibu bapa pada masa kini terlalu melindungi anak-anak sehinggakan mereka tidak mampu merasai kegagalan.
“Jika mereka melaluinya (kegagalan), ibu bapa akan cuba meletakkan ‘pembalut’ agar luka itu tidak dirasai,” kata Dr Chan.
Menjelaskan lebih lanjut : “Kanak-kanak perlu merasa kegagalan dan ibu bapa tidak harus ‘membalut luka’ itu sepanjang masa.
“Dengan melepaskan sedikit perlindungan dan memberikan anak-anak merasai kegagalan kecil, ia mampu memberikan pengajaran kepada anak-anak.”
Tambahnya, perbincangan atau dialog terbuka antara keluarga merupakan perkara penting bagi mengurus sebarang masalah atau dilema yang dihadapi anak-anak.
“Kanak-kanak merasai kegagalan sejak peringkat awal lagi. Contohnya, apabila mereka tidak dipilih untuk bermain di taman permainan atau menyertai pasukan dan sebagainya.
“Justeru, kesedaran tentang potensi diri pada pelbagai perkara perlu dilakukan di peringkat awal,” kata Dr Chan.
Beliau kesal kerana membunuh diri dalam kalangan remaja kini semakin meningkat.
Katanya, antara punca utama kejadian bunuh diri ialah perubahan hormon dan ketegangan emosi yang berlaku ke atas kumpulan remaja ini.
“Zaman remaja adalah waktu-waktu kritikal kerana pelbagai perubahan yang berlaku dalam dan luaran diri mereka.
“Oleh yang demikian, adalah penting agar ibu bapa peka terhadap tanda-tanda yang ditunjukkan oleh anak-anak mereka dan mendapatkan bantuan sebelum terlambat,” kata Dr Chan yang tidak menyangkal peranan guru dalam memberikan contoh yang positif kepada para pelajar juga penting.
Sementara itu, Pengarah Institut Sosial Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohamed Fadzil Che Din berkata, kanak-kanak mempunyai sikap bertahan yang sedikit berbanding golongan dewasa.
“Kanak-kanak mempunyai tahap kematangan, ilmu dan pengalaman yang jauh lebih sedikit berbanding dewasa.
“Apabila ketiga-tiga kriteria ini dicantumkan, ia membentuk individu yang kurang bersedia untuk memenuhi keinginan ibu bapa,”ujarnya.
Menurutnya, faktor kekurangan ini akan memberi tekanan kepada kanak-kanak,” kata Dr Mohamed Fadzil sambil memberitahu, kajian menunjukkan terdapat empat corak tingkah laku individu yang berada dalam tekanan.
Pertama, sifat agresif dan kedua, keagresifan dalaman di mana individu itu akan menghukum dirinya sendiri seperti berlapar atau memberontak dengan merempit.
“Bunuh diri merupakan tindakan paling ekstrem dalam corak kedua ini,” jelas Dr Mohamed Fadzil.
Corak ketiga ketika menghadapi tekanan ialah menyendiri dengan menilai diri dan memendamkannya di dalam jiwa.
“Menjadi pendiam atau menarik muka masam adalah contoh corak ketiga.”
Corak keempat ialah menerima hakikat akan cabaran dan masalah yang dihadapi.
“Lazimnya kanak-kanak akan mengambil corak ketiga dan tindakan kedua pula diambil kerana mempunyai contoh seperti terpengaruh dengan apa yang dipaparkan di media.
“Melalui rancangan yang mempamerkan aksi membunuh diri, ia secara tidak langsung menjadi elemen contoh kepada kanak-kanak tersebut,” jelas Dr Mohamed Fadzil sambil memaklumkan sikap agresif jarang diambil kanak-kanak kecuali mereka yang lebih ke arah hiperaktif atau mengalami masalah mental.
Beliau yang juga ahli psikologi terlatih dan pensyarah dalam kaunseling psikologikal selama lebih 10 tahun di Universiti Putra Malaysia ini, berkata, ibu bapa seharusnya meletakkan harapan yang realistik kepada anak-anak.
“Anak-anak belajar di rumah. Oleh itu, sebarang harapan atau pencapaian mahupun ilmu dunia banyak dipelajari di rumah.
“Sekiranya contoh positif diberikan, maka kesan positif akan terhasil ke atas mereka. Tetapi jika tekanan diberikan sepanjang masa, ia memberikan kesan stres kepada anak-anak,” kata Dr Mohamed Fadzil.
Menurutnya, guru di sekolah lebih bersikap realistik tentang kemampuan pelajar berbanding ibu bapa.
Namun bagi beliau, kanak-kanak perlu mempunyai kemahiran bertahan dan konsep kendiri yang positif seperti mengetahui apa yang perlu dilakukan dan menjadi cepat matang.
Terima hakikat walau apa berlaku
PENGARAH Institut Sosial Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohamed Fadzil Che Din menekankan pembelajaran formal dan tidak formal seharusnya dilakukan dengan tekun dalam membentuk individu yang mampu bertahan di dunia sebenar.
Selain itu, beliau yang berpengalaman dan bekerjasama dengan pelbagai organisasi kerajaan dan bukan kerajaan, remaja, pelajar dan sekolah menegaskan kecemerlangan bukan hanya tertakluk pada keputusan peperiksaan tetapi kapasiti pelajar itu sendiri.
Beliau turut mempersoalkan: “Adakah kecemerlangan hanya dilihat pada keputusan yang dicapai atau proses yang menjadikan pelajar itu cemerlang?
Justeru, beliau berpendapat, sistem pendidikan dan masyarakat perlu melihat bahawa usaha pelajar juga penting.
Menceritakan tentang proses kehidupan, Dr Mohamed Fadzil memaklumkan bahawa kehidupan mempunyai satu pakej yang perlu ada aspek berkaitan peristiwa, proses yang memberi makna, kesan yang mencuit perasaan dan merangsang tingkah laku.
“Dalam konteks ini, peristiwa boleh dicipta atau tidak tercipta dengan sendirinya. Oleh yang demikian, persiapan dan usaha perlu ada dan tidak hanya bersandarkan pada doa.
“Setelah peristiwa berlaku, individu harus melihat kesannya sama ada positif atau negatif dan seterusnya memilih jalan yang mereka kehendaki,” katanya sambil menambah, individu akan mencari keseimbangan dalam kehidupan mereka untuk meredakan perasaan sekiranya peristiwa negatif berlaku.
Katanya lagi: “Individu seharusnya sedar akan kesan gangguan atau tindakan yang mereka ambil kepada orang lain.
“Cara terbaik ialah menerima peristiwa negatif dan hakikat bahawa ia telah pun berlaku tetapi saya perlu meneruskan hidup dengan lebih baik,”ujarnya.
Menyentuh jangkaan masyarakat mengenai keputusan peperiksaan yang memberikan tekanan kepada kanak-kanak masa kini, Dr Mohamed Fadzil berkata:
“Berbeza dengan zaman dahulu di mana sistem pembelajaran lebih ke arah menghasilkan tenaga kerja untuk tugasan tertentu. Zaman sekarang, saya melihat ia lebih ke arah meritokrasi atau tahap pencapaian.
“Ini memberi tekanan kepada kanak-kanak. Tetapi ia realiti yang berlaku sekarang dan kita seharusnya memantapkan nilai dan kualiti individu agar mereka mampu mengharungi pelbagai dugaan masa hadapan,” kata Dr Mohamed Fadzil menamatkan bicara.
0 Komentar untuk "A Bukan Ukuran"

IKLAN


PopAds.net - The Best Popunder Adnetwork
Back To Top