Special Offer

Author

Jemaah Haji Kanak-Kanak

Salam Semua..

Segmen rohani kali ni aku kongsikan berkenaan pengalaman kanak-kanak menunaikan ibadah haji. Artikel ini dipetik dari Kosmo! 2008.



Ibadah haji merupakan salah satu rukun Islam yang menjadi tuntutan besar untuk disempurnakan oleh umat Islam yang mampu. Setiap kali musim haji, umat Islam seluruh dunia akan berpusu-pusu menuju ke tanah suci Mekah.Lebih tiga juta umat Islam di dunia menunaikan ibadah haji pada tahun ini termasuk 36,000 jemaah Malaysia. Lazimnya, kanak-kanak tidak diwajibkan menunaikan ibadah haji sebelum baligh tetapi mereka boleh berbuat demikian asalkan ditemani orang dewasa dalam menunaikan tanggungjawab kepada Allah Yang Maha Esa.

Mengerjakan ibadah haji bukan semudah yang disangka kerana ia memerlukan pengorbanan harta, tenaga dan kekuatan minda.Jemaah mestilah mampu melakukan tawaf mengelilingi kaabah sebanyak tujuh kali di tengah-tengah lautan manusia.Mereka juga memerlukan tenaga dan tubuh yang sihat untuk melakukan sa'ei antara Bukit Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali yang jarak perjalanannya mungkin meletihkan.

Ketika melontar ketiga-tiga Jamratul, jemaah dikehendaki berjalan kaki sejauh kira-kira tujuh kilometer pergi dan balik dari tempat melontar ke kediaman masing-masing. Bagaimana sukar sekalipun, jemaah haji kecil seperti Azzim Zahid, 10, berjaya menjalani ujian getir ketika menunaikan ibadah haji di Mekah baru-baru ini.

Walaupun terkandas di Muzdalifah selama beberapa jam dalam cuaca panas terik, dia mampu menghadapinya tanpa mengalami sebarang tekanan dan batuk.Menurutnya, sepanjang berada di Mekah dan Madinah, hanya dua kali dia mengalami demam kerana cuaca terlalu panas.

“Alhamdulillah saya tidak mengalami batuk seperti kebanyakan jemaah lain. Saya bersyukur kerana doa yang saya panjatkan di hadapan Kaabah, meminta dikurniakan kesihatan yang baik sepanjang menunaikan ibadah haji diterima oleh Allah s.w.t,” katanya ketika ditemui KOSMO! di Mekah baru-baru ini. Penulis yang turut mengerjakan ibadah haji pada musim ini sempat menemubual jemaah kanak-kanak ini.

Azzim adalah antara 36,000 jemaah Malaysia yang menunaikan ibadah haji di Mekah dan berada di sana selama 44 hari. Katanya, dia berjaya melaksanakan rukun dan wajib haji sebagaimana dilakukan jemaah dewasa tanpa mendapat halangan yang besar.

Selain menunaikan fardu haji, dia juga menyimpan azam dan cita-cita untuk menamatkan bacaan 30 juzuk Al-Quran di Madinah dan Mekah.Katanya, dia berjaya khatam Al-Quran di hadapan Kaabah di Masjidil Haram beberapa hari sebelum pulang ke tanah air.Majlis kenduri kesyukuran untuk meraikan usaha murninya turut diadakan bersama jemaah dewasa lain yang tinggal di Hotel Ghazzah, terletak kira-kira 0.5 kilometer dari Masjidil Haram.

Menurutnya, dia juga sempat bertemu dengan pelawak kumpulan Senario, Wahid ketika berada di Madinah.
Katanya, dia berasa bangga dan bertuah dapat menyertai ibu bapanya menunaikan haji di Mekah meskipun tidak ramai jemaah kanak-kanak negara ini berbuat demikian.

Dia yang belajar di tahun lima di Sekolah Kebangsaan Jelapang, Taman Meru, Ipoh, Perak berjanji akan menceritakan pengalamannya kepada rakan-rakan sekelasnya.Sementara itu, seorang jemaah haji Malaysia, Hadi Abd Aziz ketika ditemui berkata, beliau kagum dengan semangat yang ditunjukkan Azzim ketika menunaikan ibadah haji.

Menurutnya, selain sembahyang lima waktu yang tidak pernah culas, dia juga rajin melakukan solat sunat seperti jemaah dewasa.

“Dia adalah penghibur kami yang mengingatkan kami kepada anak-anak di tanah air.

“Dia sentiasa ceria dan sihat sepanjang tinggal bersama kami di Maktab 95 di Hotel Al Ghazzah, Mekah,” katanya.

Hadi berkata, Azzim jarang mendapat sakit seperti demam selesema dan batuk sehingga mendapat jolokan ‘Budak Ajaib’ dalam kalangan jemaah dewasa.

Sementara itu, Wahid berkata, beliau bersyukur kerana dapat menunaikan ibadah haji dengan sempurna.Menurutnya, beliau akan memulakan tugasnya sebagai pelawak beberapa hari lagi setelah berehat secukupnya.

“Saya kena menyesuaikan waktu tidur di negara ini setelah mengalami perbezaan waktu lima jam antara negara ini dan Mekah,” katanya.

Sumber: Kosmo Online

P/S: Nak kumpul duit pergi Mekah


0 Komentar untuk "Jemaah Haji Kanak-Kanak"

IKLAN


PopAds.net - The Best Popunder Adnetwork
Back To Top