Assalamualaikum
BANYAK ramalan menyebut 2012 merupakan tahun berlakunya kiamat. Teori  kemusnahan alam semesta kaum Maya telah dipopularkan menerusi filem 2012 hinggakan filem tahun 2009 itu meraih kutipan global sebanyak AS$769 juta (RM2.3 bilion). 
Nostradamus, si peramal tersohor Perancis turut menamakan 2012  sebagai tahun kemusnahan planet-planet, manakala para ahli astrologi  China dari Dinasti Chang mengatakan akan berlaku bencana besar tahun  ini.Oleh kerana itu, apabila saintis menjangkakan fenomena ribut matahari  terjadi pada pertengahan 2012 hingga 2013, mitos kiamat yang  dicanangkan sebelum ini terasa bagaikan semakin hampir.
Dalam ilmu astrologi, matahari merupakan bintang yang terletak paling  dekat dengan bumi iaitu sejauh 149 juta kilometer. Ia mempunyai suhu  teras 15 juta darjah Celcius dan telah terbentuk lebih 5,000 juta tahun  yang lalu. 
"Ribut matahari berlaku akibat peningkatan suhu matahari daripada  kadar normal. Suhu panas itu menyebabkan ia mengeluarkan gas yang  sebahagiannya akan masuk semula ke dalam matahari.
ANDAIAN bumi  akan musnah pada 2012  mitos semata-mata. 
"Bagaimanapun, sebahagian gas itu berlegar di ruang angkasa dan  memasuki atmofera bumi. Fenomena itulah yang digelar ribut matahari,"  kata seorang pakar astronomi tempatan, Shahrin Ahmad. 
Namun, beliau berpendapat ribut matahari tidak akan memusnahkan bumi.  Malah, kejadian ribut matahari sampai ke bumi jarang berlaku kerana ia  dihalang oleh lapisan atmosfera dan medan magnet bumi.
Kesan
"Ribut itu akan termusnah sendiri sebelum sampai ke daratan. Tetapi  jika ia menembusi lapisan atmosfera dan medan magnet bumi dengan saiz  dua atau tiga kali ganda melebihi saiz bumi, kerosakan besar boleh  berlaku.
"Apa pun, ia terhad kepada kerosakan peralatan elektrik dan sistem  telekomunikasi seperti satelit, sistem penerbangan dan Internet," kata  Shahrin.
Beliau memberitahu, kesan ribut matahari pernah dirasai di bumi pada  tahun 1859. Akibatnya, sistem telegraf di Amerika Syarikat dan negara  Eropah lumpuh sama sekali.
"Peristiwa itu dinamakan Carrington Event. Begitupun, kejadian itu  kini boleh dielakkan dengan dua satelit peninjau matahari bernama Stereo  yang dilancarkan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA)  Amerika Syarikat.
"Kedua-dua satelit itu berperanan mengumpul data untuk memahami dan  meramalkan ribut matahari sebagai persediaan awal jika ia berlaku,"  ujarnya.
Shahrin menambah, memang wujud kebimbangan bahawa ribut matahari  kemungkinan menjejaskan struktur asid deoksiribonukleik (DNA) manusia  namun beliau berpendapat perubahan DNA itu lebih disebabkan oleh kesan  rumah hijau dan pelepasan gas beracun radioaktif.
"Makanan, radioaktif dan bahan kimia yang meresapi tubuh boleh  mengganggu sistem tubuh tetapi ia tiada kaitan secara langsung dengan  fenomena ribut matahari," tegasnya.
NASA sebelum ini meramalkan ribut matahari akan kerap berlaku sepanjang tahun 2012 dan 2013.Ini mengakibatkan saintis Amerika Syarikat (AS) mengandaikan impak  kerosakan akibat ribut matahari pada tahun 2012 lebih dahsyat berbanding  Taufan Katrina yang melanda AS pada tahun 2005 dan mengorbankan 1,800  orang.
"Puncak kerisauan sebenar ialah gangguan ke atas kehidupan sosial  yang bergantung pada teknologi seperti GPS dan komunikasi satelit," kata  ahli fizik NASA, Lika Guhathakurta.Seorang lagi pegawai NASA, Michael Kaiser menambah, matahari  mencetuskan ribut solar sejak berbilion tahun dahulu tetapi hanya pada  akhir-akhir ini ramai yang mengambil berat isu tersebut. 
"Ribut elektromagnet matahari boleh menjejaskan sistem tenaga elektrik selain membahayakan angkasawan.
"Pertambahan tenaga magnetik dalam atmosfera dijangka mengeluarkan  radiasi yang mampu menyebabkan kuasa janakuasa elektrik meningkat  mendadak," katanya.
Ujarnya lagi, kali terakhir pancaran matahari meletus adalah pada  tahun 1859 hingga menyebabkan dua pertiga daripada ruang angkasa bumi  bertukar menjadi warna merah.Dijangkakan, peristiwa itu dapat dilihat sekali lagi dengan beberapa  bandar utama seperti London, Paris dan New York mengalami ribut awan  pada 2012 atau 2013.Pakar astronomi dari Indonesia, Hakim L Malasan pula berpendapat,  fenomena ribut matahari tidak berhubung kait dengan kiamat. Seorang lagi  pakar, Thomas Djamaluddin, mengatakan kiamat mungkin berlaku lima juta  tahun lagi.
"Matahari akan menjadi bintang raksasa merah dan menelan planet terdekat, Utarid, Zuhrah dan mungkin bumi," jelasnya.
Hidrogen
Timbalan Ketua Pengarah Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu  (PBB) di Vienna, Profesor Datuk Dr. Mazlan Othman berpendapat, bidang  astrofizik tidak dapat menentukan hari kiamat selagi tiada perubahan  pada matahari.
"Ahli fizik memang percaya bahawa alam semesta akan berakhir tetapi  sama ada pada 2012 atau 10 juta tahun dari sekarang mahupun 10 bilion  tahun lagi, ia terpulang kepada teori yang kita ada.
"Dari segi fizik, jika matahari sudah kehabisan hidrogen, ia akan  berkembang menjadi bintang lain. Ketika itu kehidupan di bumi akan  mengalami perubahan dan kejadian tersebut boleh dikatakan sebagai tanda  kiamat.
RIBUT matahari tidak akan memusnahkan bumi sebaliknya merosakkan sistem radar dan satelit. 
"Ini kerana apabila matahari tiada lagi tenaga, manusia tidak boleh  hidup dan akan berlaku banyak kejadian alam yang boleh mencetuskan  pengakhiran dunia," katanya.
Menurut Pegawai Sains, Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Mohd. Zamri  Shah Mastor, bumi juga boleh hancur menerusi hentaman objek yang  terapung di angkasa lepas seperti komet atau asteroid.
"Tetapi kita bernasib baik disebabkan bumi memiliki lapisan  atmosfera. Lapisan itu menyebabkan komet dan asteroid yang cuba menerjah  atmosfera bumi akan termusnah terlebih dahulu.
"Sebenarnya terdapat 1,077 asteroid yang dikenal pasti berpotensi menghentam bumi," katanya.
Sumber: Kosmo Online
P/S: Jangan terpengaruh dengan movie 2012

 
0 Comment for "Ribut Matahari Bukan Kiamat"
Terima kasih kerana sudi meninggalkan komen. Komen kalian akan ditapis agar tidak wujud sebarang kekeliruan terhadap entri yang telah disiarkan
Terima kasih tinggal komen kat sini. :)