You don’t have to be big. You have to be remarkable

Maharaja Lawak MEGA

Salam Semua...

Lawak..lawak..lawak... Raja Lawak...Maharaja Lawak dan Kini MAHARAJA LAWAK MEGA akan menggegarkan rumah korang la.. Bukan panggung.. Akan berlangsung pada 28 Oktober ni, setiap Jumaat pada jam 10 mlm di Astro Warna 132.. Sapa yang tak de Astro Warna pergi dapatkan pakej Mustika yerk.. Aku hanya mampu menatap kat You Tube je ler nanti..Berita penuh dibawah.. Sila baca... 


SEBAGAI sebuah program komedi yang diminati ramai, rancangan Raja Lawak dan Maharaja Lawak sememangnya telah mencetuskan fenomena di kalangan penonton sehingga mengangkat bidang lawak jenaka ke peringkat yang lebih tinggi.Dengan kemunculan kedua-dua rancangan tersebut, ia dilihat sudah mencungkil begitu ramai pelapis pelawak tempatan sedia ada yang telah mewarnai lagi industri hiburan tanah air.

Melihat kepada kejayaan yang dikecapi itu, maka pihak Astro telah membuat satu lagi kejutan apabila bakal menghasilkan sebuah lagi rancangan komedi menarik yang dikenali sebagai Maharaja Lawak Mega.Apa yang menariknya tentang rancangan ini, ia bakal membabitkan para peserta di kalangan pelawak yang lebih berpengalaman dalam bidang komedi dari tiga buah negara iaitu Malaysia, Singapura dan Indonesia.Pengurus Saluran Astro Warna, Nizam Sani berkata, rancangan komedi terbaharu Astro itu menggunakan format dan konsep yang hampir serupa dengan Raja Lawak dan Maharaja Lawak.

“Jika kedua-dua rancangan sebelum ini membabitkan peserta yang tidak mempunyai sebarang pengalaman, kali ini kami bawakan pula para peserta yang boleh digelar sebagai otai lawak dan sudah lama dalam bidang komedi.

“Idea untuk menerbitkan rancangan ini timbul atas permintaan beberapa pelawak tempatan sendiri yang mahukan sebuah pertandingan yang khusus untuk pelawak yang sudah berpengalaman luas,” jelasnya.

Ditanya mengenai penyertaan dari Singapura dan Indonesia pula, Nizam menjelaskan tujuan pihaknya mengundang peserta dari kedua-dua negara tersebut adalah sebagai platform kepada pelawak tempatan untuk dikenali di kedua-dua negara tersebut.Ujarnya lagi, untuk pemilihan peserta dari luar pula dibuat adalah melalui perbincangan dan cadangan yang telah diberikan oleh rakan stesen televisyen di negara berkenaan.

“Apabila mereka memberi nama beberapa buah kumpulan lawak di negara masing-masing, kami terus menghantarkan jemputan untuk menyertai rancangan ini. Namun begitu, ada beberapa buah kumpulan yang terpaksa tolak kerana jadual yang tidak sesuai,” ujarnya.

Berkenaan dengan sistem pemarkahan dan juri pula, Nizam memberitahu bahawa peratusan markah sebanyak 70 peratus akan diberikan oleh juri tetap, manakala 30 peratus lagi adalah menerusi undian penonton.Untuk juri tetap pula, seramai tiga orang juri tetap yang akan dipilih serta seorang juri jemputan yang akan diundang dari kedua-dua negara tersebut pada setiap minggu.Bagi pemilihan juri pula, kami telah menetapkan bahawa kesemua juri yang akan dipilih nanti terdiri daripada selebriti yang bukan berlatarbelakangkan pelawak atau pelakon komedi.

“Setiap peserta yang bertanding nanti tidak akan dinilai dari sudut teknikal memandangkan kesemuanya sudah berpengalaman luas. Sebaliknya, penilaian yang diberikan adalah berdasarkan kepada kelucuan dan elemen lawak jenaka yang menghiburkan,” jelasnya.

Bakal bersiaran secara langsung bermula 28 Oktober ini pada setiap hari Jumaat jam 10 malam di saluran Astro Warna 132, pertandingan tersebut akan disertai oleh 17 peserta yang akan merebut gelaran juara.
Antara peserta yang bakal bersaing seperti kumpulan Pimai (dianggotai Sathiya, Imuda dan Yassin Sulaiman), Hiro (Hamdan, Ilya dan Ropie), Boboi (Afdlin Shauki dan Harun Salim Bachik), Anje (Achong & Joey), Osbon (Mr. Os dan Abon), Bawal Power (Bob Kuman dan Sobri), Rap (Aziz Kota, Pak Lah Cecupak dan Rama), Comel (Radhi Khalid dan Bell Ngasri), Lanun (Jegan, Elyas dan Salman), 3G (Yassin, Didie Alias dan Enot) serta dua peserta solo iaitu Adlin Aman Ramli dan Jalil Hamid.Peserta Singapura pula diwakili oleh kumpulan Gebu (Hani dan Azian), gabungan peserta Malaysia dan Singapura iaitu kumpulan Syok (Ifa Raziah, Suhaimi dan Arif Sudin). Indonesia pula tampil dengan tiga kumpulan iaitu Bawel (Dodon, Amin dan Dadang), Saehu (Eko, Bocil dan Vicha) serta Caer (Adetao, Mister Ibo dan Lugiana).

Dijadualkan berlangsung selama 10 minggu, selain gelaran Maharaja Lawak Mega, para peserta yang akan muncul juara nanti akan membawa pulang hadiah wang tunai yang cukup lumayan iaitu RM350,000!

Mencabar

Dengan menggabungkan para peserta yang terdiri daripada pelawak dan pelakon komedi yang sudah berpengalaman luas ternyata memberikan cabaran yang tersendiri dalam usaha untuk bergelar juara sulung.Salah satu kumpulan iaitu Anje yang terdiri daripada Acong dan Joey ketika ditemui mengakui adalah sesuatu yang cukup mencabar apabila bakal bersaing dengan peserta yang hebat.Menurut Acong, biarpun menyedari peluang untuk muncul juara agak sukar, namun matlamat utama mereka untuk turut serta dalam rancangan tersebut adalah mahu menghiburkan orang ramai.

“Kami akui kalau dari segi populariti memang kami akan tewas. Bagaimanapun, itu bukan bermakna kami berputus asa kerana apa yang lebih penting adalah kreativiti ketika membuat persembahan nanti,” ujarnya.

Sementara Ifa Raziah yang mewakili kumpulan Syok pula menyifatkan penggabungannya dengan peserta dari Singapura adalah satu langkah yang tepat dan yakin mereka mampu tampil sebagai sebuah kumpulan yang akan memberi cabaran sengit nanti.Menurutnya, dia sendiri pada mulanya tidak menyangka apabila pihak Astro memberikan peluang untuk mereka bergabung sebagai sebuah kumpulan dan tiada masalah untuk bergandingan dengan pelawak lelaki.

“Sebelum ini saya memang sudah selalu bekerjasama dengan Suhaimi memandangkan saya memang sering tampil dalam rancangan televisyen di Singapura dan ini kali pertama bergandingan dengan Arif.

“Sebagai sebuah kumpulan kami tidak merasakan yang kami ini peserta dari Malaysia atau Singapura kerana bergerak di atas nama kumpulan Syok. Malah, kami berharap agar mendapat sokongan yang padu dari kedua-dua negara,” jelasnya.

Sumber: Kosmo Online
P/S: Sepah dah jadi Sepahtu :(

0 Comment for "Maharaja Lawak MEGA"

Terima kasih kerana sudi meninggalkan komen. Komen kalian akan ditapis agar tidak wujud sebarang kekeliruan terhadap entri yang telah disiarkan

Terima kasih tinggal komen kat sini. :)

Back To Top