You don’t have to be big. You have to be remarkable

Siapa Ahmad Kemin


 
Salam Semua...

Yeah.. Buat pertama kalinya dalam Santai Personaliti ari ni akan mengupas mengenai seorang individu yang mungkin asing bagi orang2 macam aku tapi tidak asing bagi mereka yang berada dalam bidang automotif. Siapa Ahmad Kemin ni?. Opss lebih tepat lagi DATUK AHMAD KEMIN. Nak tahu kisah jatuh bangkitnya dan liku-liku yang telah diharungi oleh Datuk Ahmad Kemin segalanya akan terungkai dalam informasi Santai Tokoh dibawah. 

ANAK sulung Ahmad, Mokhtar (kiri) membantu bapanya mengurus sebuah empayar automotif yang paling berkembang di negara ini.

"JIKA kita nyatakan bahawa dunia ini tidak menyebelahi kita, maka itu menunjukkan keyakinan rohaniah kita lemah. "Keseluruhan hidup manusia pada hakikatnya seperti satu perjuangan dan peperangan, perjuangan hanya akan tamat pada akhir hayat, mereka yang mahukan kejayaan perlulah menerima hakikat tersebut."

Demikian frasa yang lahir dari hati seorang tokoh ternama negara, Datuk Ahmad Kemin, 64, membawa pengertian yang sangat mendalam.Kata-kata itu juga sebenarnya adalah kelongsong azimat yang membawa Pengerusi Eksekutif Mutiara Motors Sdn. Bhd. itu menggapai kecemerlangan. Bukan hanya untuk dirinya sahaja malah untuk negara.Mutiara Motors di bawah teraju Ahmad adalah syarikat pemegang permit import (AP) dan juga wakil pengedar kereta jenama terkemuka dunia iaitu Toyota, Artega dan Lexus.

Rintangan 

Sepanjang 27 tahun beroperasi, Mutiara Motors kini turut memiliki anak syarikat lain seperti Mutiara Motors Resort Sdn. Bhd., Mutiara Motors Performance Products Sdn. Bhd., Mutiara Motorsports Sdn. Bhd., M7 Motorsports Sdn. Bhd. dan M7 Racing Sdn. Bhd.Rentetan kejayaan Ahmad bukan semudah seperti mendendangkan sebuah cerita. Seperti kata anak kelahiran Kampung Mampan, Batu Pahat, Johor: "Saya bergelut dengan pelbagai rintangan, perit jerih, sepak terajang perniagaan, saya tetap tebalkan muka, keraskan kepala dan ringankan tulang untuk mengharunginya."Terus-terang, seribu perasaan meledak dalam fikiran penulis ketika pertama kali bersua dengannya.

Namun, lelaki itu mewujudkan atmosfera luar biasa sehinggakan kata-kata yang terucap olehnya mewajarkan dirinya diteladani.Bahtera kehidupan yang dilayari oleh figura itu ketika zaman kanak-kanaknya tidak akan hilang denyutnya begitu sahaja.

"Semasa kematian ibu usia saya 12 tahun, salah seorang kakak menjaga saya, ketika itu kehidupan amat susah dan memaksa saya meninggalkan bangku sekolah untuk bekerja mencari rezeki," katanya yang hanya sempat belajar setakat darjah enam sahaja.

Namun, momen bersama arwah ibu masih berbekas di hatinya. Ceritanya, demi mencari sesuap nasi, beliau bersama ibu pernah berjalan kaki dari Kampung Melayu Majidee untuk menjual ubat tradisional.Ujar Ahmad, beliau telah dididik bahawa alam mempunyai banyak cara untuk menghukum kemalasan. Justeru, sejak usia 16 tahun, beliau ligat kerja. Beliaulah penghantar maklumat, beliaulah peon, pencari fail, pembantu makmal dan juga penjaga stor dengan gaji sebanyak RM180 di Jabatan Kerja Raya (JKR), Johor.

"Di luar waktu kerja, saya menjual ais kepal di warung, berniaga barangan plastik di pasar malam, menjual jam tangan, membeli kereta-kereta buruk, membaiki dan menjualnya semula," katanya dengan mata hangat berkaca.

Ceritanya tentang bibit kesengsaraannya seperti bermonolog. Namun, perlakuan itu tidak memuakkan.Beritahu Ahmad, dia berhenti makan gaji apabila Ketua Jabatan JKR ketika itu, Yow Yuan Kow telah mencabarnya meletak jawatan lantaran lelaki Tionghua itu sedar dirinya seorang yang kuat bekerja. Ketika itu, Ahmad berusia 35 tahun.

"Perniagaan pertama saya selepas berhenti daripada JKR ialah menubuhkan Syarikat Murni Motors (bertukar nama kepada Mutiara Motors Sdn. Bhd. pada 13 Disember 1982) yang beroperasi di Jalan Dato' Abdullah Tahir, Johor Bahru, Johor dengan tiga rakan kongsi," katanya.

Semakin tinggi gunung didaki, semakin banyak onak dan duri mesti dilalui sebelum sampai ke puncak, kata aristokrat itu.Ujarnya melondehkan kemelut yang membelenggu seawal berbisnes: "Pelbagai masalah dan rintangan bersilih ganti, modal kecil, bank sedikit pun tak memandang perniagaan saya sebagai berdaya saing dan paling perit, dendam dan hasad dengki manusia yang tak mahu lihat kita berjaya."

Peritnya 'kesakitan' itu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata, kata Ahmad. Tahun 1985, tiada siapa menduga, pasaran saham negara jatuh merudum. Impaknya, operasi Mutiara Motors terpaksa dihentikan. Bisnes landskap yang dijalankan pada tahun berikutnya juga tidak menjadi.

Gagal berniaga

Antara tahun 1980 hingga 1990, Mutiara Motors melakukan anjakan paradigma. Apakah yang dilakukan usahawan tersohor ini? Berpadanan dengan selera generasi muda, Ahmad mengimport kereta sport. Ternyata percaturan itu berhasil.

"Walau beberapa kali gagal dalam perniagaan, tak bermakna saya kurang disiplin," tegas anak kesembilan daripada 12 beradik.

Putaran kehidupan dan hukum alam sememangnya tidak dapat disangkal oleh sesiapa. Pada tahun 1997, Ahmad terpaksa memerah otak bagaimana mempertahankan Mutiara Motors tatkala negara berdepan dengan kegawatan ekonomi yang begitu parah.

"Tuhan Maha Kaya, saya dihubungi oleh rakan niaga dari Jepun, K.Yamaguchi yang bertanyakan khabar perniagaan di Malaysia. Dia memahami dan menawarkan bantuan dengan memberi lima buah kereta tanpa sebarang bayaran," katanya penuh kesyukuran.

Menyingsing alaf baharu 2000, Mutiara Motors meletakkan kembali namanya di persada permotoran negara sehingga kini.Pasti ramai tertanya-tanya bagaimanakah seorang yang hanya bersekolah hingga tamat darjah enam boleh berjaya? Jawapannya sangat ringkas iaitu yakin.

Budaya Jepun 

Seperkara lagi, Setiausaha Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) itu mengakui, sewaktu mula-mula terjun ke arena bisnes, beliau tidak fasih berbahasa Inggeris.

AHMAD bersama rakan bisnesnya, K. Yamaguchi yang banyak membantunya meluaskan perniagaannya di Malaysia.

"Ya, dulu memang saya tak tahu cakap orang putih, saya fikir bagaimana kita nak maju kalau tak tahu cakap Inggeris, tapi bila mengenangkan Jepun boleh menawan pasaran dunia walau kurang fasih, mengapa saya tidak," imbasnya.

Ahmad tidak lokek mengisahkan tentang momen pertama mengadakan rundingan dengan salah sebuah syarikat di Jepun pada awal 1980-an.

"Lucu kalau nak diceritakan balik tapi yang pasti ia agak merimaskan dan kaku kerana banyak isyarat tangan digunakan. Dah macam cakap ayam dengan itik," ujarnya yang pernah meminta rakannya yang boleh berbahasa Jepun dikenali sebagai Rahman Jepun untuk membantunya.

Itu semua kisah lama yang telah dibukukan. Kini, Ahmad lancar berbahasa Inggeris sehinggakan rakan-rakan bisnes dari luar negara kagum dengan kebolehannya bertutur.Jepun adalah signifikan dengan perniagaan Ahmad, hatta dalam hatinya sekali pun. Katanya: "Jepun sangat dekat dengan saya, Jepun adalah rumah kedua saya dan betapa akrabnya saya dengan aura Jepun dapat ditunjukkan dalam operasi Mutiara.

"Sikap menepati janji dan masa sudah menjadi tabiat orang Jepun, mereka juga menghormati pelanggan, jadi, saya terapkan nilai itu kepada para pekerja saya. Bagi saya, pelanggan adalah raja, layanan pelanggan adalah aspek terpenting kerana selalunya pelanggan akan kembali ke tempat yang dia paling selesa."

Lelaki yang fasih bertutur dalam bahasa Jepun itu melemparkan pandangan jauh. Barangkali beliau bagaikan tidak percaya bahawa Allah menganugerahkan rezeki sehebat itu.Kisah seperti ditipu rakan sendiri dalam mendapatkan Permit Import (AP), pekerja sendiri pecah amanah dan dengki yang tidak berkesudahan sudah dilontar jauh-jauh oleh Ahmad.Seperti kata Ahmad: "Hidup saya sejak zaman kanak-kanak hingga dewasa penuh dengan cabaran, tanpa cabaran baharu, jiwa saya menjadi lesu dan kurang bertenaga.

"Sebab itu penerokaan baharu tidak dapat dielakkan dalam perjalanan saya memenuhi tuntutan kehidupan ini."

Sesungguhnya, teguhnya bangunan Mutiara Motors yang terletak di Jalan Tebrau dan Larkin, Johor, menggambarkan prestijnya kedudukan lelaki itu.

Sumber: Kosmo Online
P/S: Kurang berpendidikan bukan alasan untuk berjaya dalam kehidupan
0 Comment for "Siapa Ahmad Kemin"

Terima kasih kerana sudi meninggalkan komen. Komen kalian akan ditapis agar tidak wujud sebarang kekeliruan terhadap entri yang telah disiarkan

Terima kasih tinggal komen kat sini. :)

Back To Top