You don’t have to be big. You have to be remarkable

Tanggang Memang Wujud

Salam Semua...

Santai info dunia kali ni berkisar mengenai Tanggang.. Wow.. Tak sangka plak di gelar Tanggang di Malaysia, Malin Kundang di Indonesia dan Nakhoda Manis di Brunei. Ianya bukan mitos dan direka bagi menakutkan si anak dan juga secara tidak langsung menanam nilai dalam setiap individu bahawa pentingnya hormatkan orang tua dan tidak derhaka kepada ibu dan bapa.. Apa kisah sebenarnya? Santai info dunia ada jawapannya... (Sila baca dibawah)


BATU Malin Kundang berbentuk manusia di Pantai Air Manis, Padang, Sumatera Barat menarik ribuan pelancong setiap tahun

KISAH seorang lelaki disumpah menjadi batu oleh ibunya begitu popular dalam masyarakat Melayu Nusantara. Di Malaysia, lelaki itu dikenali sebagai Si Tanggang manakala dia dipanggil Malin Kundang di Indonesia dan Nakhoda Manis di Brunei.

Menurut mitosnya, Si Tanggang ialah seorang pemuda miskin yang merantau mengikut sebuah kapal bagi mencari kekayaan. Malangnya, selepas kaya dia berubah menjadi sombong dan langsung tidak menjenguk ibunya walaupun semasa kapalnya berlabuh di kampung ibunya.Lebih menyedihkan, si ibu yang datang ke kapal tersebut untuk mencari Si Tanggang telah dihalau oleh anaknya itu.

Si Tanggang yang telah memperisterikan seorang wanita cantik dikatakan berbuat begitu kerana malu mempunyai ibu yang miskin. Disebabkan kecewa, si ibu telah menyumpah Si Tanggang menjadi batu. Apa yang menarik, batu yang didakwa sebagai Si Tanggang itu boleh ditemui di sebuah gua di Batu Caves, Selangor. Batu berbentuk manusia juga ada terdampar di Pantai Air Manis, Padang, Sumatera, Indonesia manakala di Brunei, ia terletak di tepi laut Jong Batu.

GUA Gelap tempat Si Tanggang dan kapalnya disumpah menjadi batu

Darah Si Tanggang

Gua Gelap di Batu Caves dikatakan menjadi tempat mengalirnya darah Si Tanggang.

“Anda dapat melihat sendiri seakan-akan darah mengalir di celah batu dan lantai gua ini. Adunan air dan batu berwarna merah seperti menguatkan mitos Si Tanggang.

“Kesan ini wujud sejak gua ini ditemui pada tahun 1889,” ujar warden Gua Gelap, Batu Caves, Hadrian Sanie, 42, sambil menunjukkan batu berwarna merah seperti darah beku manusia.

Hadrian telah bekerja sebagai pemandu pelancong Gua Gelap sejak lima tahun lalu. Kisah Si Tanggang itu diceritakan dari mulut ke mulut sejak dahulu lagi.

“Ramai juga pelancong yang memasuki gua bertanyakan perkara yang sama. Malah mereka takut untuk memegang air dan batu tersebut,” kata Handrian.

Tetapi terdapat penjelasan tentang perkara itu mengikut ilmu geologi.

Profesor Mohd. Shafeea Leman, 53, Ketua Kumpulan Teras Warisan Geologi Malaysia (KWGM) mempunyai jawapannya.

“Proses semula jadi di gua itu sendiri mengakibatkan fenomena itu berlaku. Aliran air yang mengandungi besi oksida menyebabkan batu itu berwarna oren.

“Kemudian oksigen menukarkan pula batu itu kepada warna merah. Ia bukan darah tetapi kesan perubahan kimia batu itu,” ujarnya.

Di Pantai Air Manis pula, yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari Kota Padang, Sumatera, terdapat batu Si Tanggang dan kesan kapalnya. Batu itu kelihatan seperti seseorang sedang meniarap di celah-celah serpihan kapal yang pecah.Batu yang dikatakan telah dibentuk semula itu kini masih menjadi tarikan pelancongan di situ.Menurut pakar sejarah, Profesor Datuk Dr. Ramlah Adam, kisah Si Tanggang amat dekat dengan budaya masyarakat Melayu di Malaysia.Katanya, kisah Si Tanggang itu mungkin benar berikutan penemuan batu berbentuk manusia dan kapal di tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Brunei.

“Malangnya, tiada dokumen rasmi yang mengesahkan kejadian itu walaupun pada masa itu tamadun manusia sudah berkembang.

“Dengan adanya cerita mengenai kapal dan perdagangan yang melibatkan Si Tanggang menunjukkan ketamadunan manusia telah berkembang di nusantara ketika itu,” katanya kepada Jurnal.

Ramlah memberitahu, kisah Si Tanggang hanya diceritakan secara lisan dan mungkin perjalanan ceritanya berbeza kerana ada penambahan daripada versi asal.

“Ia kemudian dimasukkan unsur komersial seperti magis bagi mencantikkan lagi cerita.

“Lagipun versi kisah Si Tanggang di ketiga-tiga negara ini hampir sama. Ini agak pelik. Bagaimana seorang individu atau satu kejadian boleh berlaku di tiga lokasi?” katanya.

Ujar Ramlah, persamaan versi kisah Si Tanggang ialah perjalanan ceritanya banyak berkisar mengenai laut atau sungai, aktiviti perniagaan dan perkampungan nelayan, selain cerita derhaka si anak kepada si ibu.

Percikan darah Si Tanggang dikatakan boleh ditemui di dalam Gua Gelap di Batu Caves dekat Kuala Lumpur


Bukti saintifik

Ramlah turut menyebut, konsep pembalasan dosa dalam Islam bukan di akhirat sahaja tetapi juga di dunia seperti yang cuba digambarkan dalam kisah Si Tanggang.Bagi pakar geologi, Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hassan, kebenaran kisah Si Tanggang boleh dibuktikan dengan melakukan ujian saintifik ke atas batu berbentuk manusia yang didakwa sebagai kesan sumpahan lelaki itu.

“Para pengkaji sejarah boleh menguji batu-batuan di ketiga-tiga lokasi bagi menentukan usianya.

“Selepas itu, kita bandingkan usia batu itu dengan usia cerita lisan yang diceritakan dari mulut ke mulut sejak berzaman lalu itu,” terang Ali.

Katanya, dari sudut geologi, pembentukan batu-batuan yang menyerupai manusia dan kapal bukan perkara mustahil.

“Walaupun tidak seratus-peratus tepat, proses hakisan yang disebabkan faktor semula jadi seperti angin dan air boleh membentuk objek seperti manusia, haiwan atau benda tertentu.

“Kadangkala manusia sendiri mungkin menambah dan mengukir batu-batu tersebut supaya menyamai rupa manusia,” katanya.

Sumber: Kosmo Online

P/S: Ni yang rasa nk pergi Gua Gelap ni.. Nk tgk ngn mata kepala sendiri..

0 Comment for "Tanggang Memang Wujud"

Terima kasih kerana sudi meninggalkan komen. Komen kalian akan ditapis agar tidak wujud sebarang kekeliruan terhadap entri yang telah disiarkan

Terima kasih tinggal komen kat sini. :)

Back To Top