You don’t have to be big. You have to be remarkable

Kontroversi Tujuh Keajaiban Dunia Moden

Salam Semua

Santai info dunia dalam artikel "Pencalonan Lokasi Cetus Kontroversi" membawa anda pengetahuan am mengenai Tujuh Keajaiban Dunia yang seringkali kite dengar tapi mungkin ada diantara kite tidak mengetahui kesemuanye. Nak tahu details baca kat bawah ni.. :)




PIRAMID Agung Giza sudah berusia lebih 3,800 tahun. Namun, kekukuhan struktur ciptaan manusia tertua yang masih wujud itu menjadi salah satu monumen yang paling diingati oleh setiap generasi.Tanyalah sesiapa sahaja, pasti mereka kenal dengan piramid yang dibina pada tahun 2540 Sebelum Masihi itu dan siap dua dekad kemudian.

Walhal, ketika Piramid Agung Giza disenaraikan, terdapat enam buah seni bina purba lain yang melakar sejarah sebagai monumen penting yang turut melakar sejarah manusia zaman purba ketika itu.Antaranya ialah taman tergantung Babylon, Kuil Artemis di Ephesus, patung berhala Zeus di Olympia, makam Maussollos di Halicarnassus, patung raksasa Rhodes dan rumah api Iskandariah.

Orang Yunani sejak zaman purba percaya bahawa tujuh membawa maksud atau melambangkan kesempurnaan, sehinggakan kepercayaan itu diteruskan sehingga kini.Dari situlah wujudnya pelbagai senarai keajaiban lain yang meletakkan tujuh nama-nama seni bina atau monumen, alam semula jadi sebagainya.

Baru-baru ini, sebuah organisasi, Yayasan New7wonders telah menyenaraikan sebanyak tujuh keajaiban alam sekitar dunia yang dipilih berdasarkan undian penduduk dunia. Kawasan yang dipilih ialah Hutan Hujan Amazon di Amerika Selatan, Teluk Halong di Vietnam, Air Terjun Iguazu di Argentina dan Brazil, Pulau Jeju di Korea Selatan, Pulau Komodo di Indonesia, sungai bawah tanah Puerto Princesa di Filipina dan Gunung Table di Afrika Selatan.

Pengasas Yayasan New7Wonders, Bernard Weber dalam laman webnya berkata: "Kami mengucapkan tahniah kepada peserta-peserta yang telah berjaya mendapat status sementara ini dalam melengkapkan proses mengesahan dalam majlis khas yang akan diadakan awal tahun 2012 nanti.

"Keputusan akhir bakal diumumkan awal tahun 2012 ini dengan amaran kemungkinan berlakunya perubahan keputusan pemenang sementara berbanding senarai akhir," katanya.



PULAU gunung berapi, Pulau Jeju terletak kira-kira 130 kilometer dari Korea Selatan.


Keputusan akhir tersebut diperoleh selepas satu proses yang lama, bermula dari Disember 2007 hingga Julai 2009. Dalam tempoh itu, warga dunia diminta mengundi lokasi yang mereka fikir sebagai keajaiban alam sekitar.

Lebih satu juta undian diterima untuk menyenarai pendek 440 lokasi di 220 buah negara kepada 77 lokasi sahaja. Senarai itu kemudian dipendekkan kepada 28 finalis oleh satu panel pakar.Tujuh keajaiban alam sekitar yang baru menunjukkan penyertaan beberapa nama-nama tempat pelancongan popular seperti Great Barrier Reef di Australia dan Grand Canyon di AS yang terkeluar daripada senarai akhir pertandingan tersebut.

Pulau Jeju

Walaupun menganjurkan kempen besar-besaran untuk mendapatkan undi, tempat tarikan pelancongan berkenaan tewas dengan lokasi pelancongan kurang popular seperti Pulau Jeju di Korea Selatan, sungai bawah tanah Puerto Princesa dan Pulau Komodo di Indonesia.Gabenor Jeju Woo Geun Min berkata, penyenaraian itu telah membuka lembaran baharu dalam industri pelancongan kepulauan berkenaan.

"Keputusan ini pastinya akan menarik kehadiran ramai pelancong ke Pulau Jeju, meningkatkan pelaburan dan kesedaran mengenai produk pertanian pulau ini," katanya mengenai pulau yang terkenal dengan limau tangerin itu.

Peneraju kemenangan berkenaan ialah Yang Won-chan. Beliau merupakan setiausaha agung jawatankuasa kebangsaan Jeju untuk Yayasan New7Wonders bagi keajaiban alam semula jadi yang bertungkus-lumus menarik undian sejak setahun lalu.


BINAAN unik dan sejarah yang dipahat Colosseum di Rom Itali telah menarik jutaan pelancong ke negara itu sejak berdekad lalu.


Won-chan yang memiliki klinik ortopedik di selatan Seoul mengambil keputusan menyertai kempen Pulau Jeju pada Oktober tahun lalu selepas Gabenornya, Woo Geun Min memintanya berbuat demikian.Won-chan juga telah menarik penyertaan individu berpengaruh dan dihormati masyarakat iaitu bekas Perdana Menteri, Chung Un-chan untuk mengetuai organisasi yang belum dilancarkan ketika itu.Selepas Un-chan bersetuju, jawatankuasa itu ditubuhkan secara rasmi pada 13 Disember 2010.

Won-chan membenarkan jawatankuasa berkenaan menjalankan operasi di tingkat empat bangunan klinik lapan tingkat miliknya secara percuma. Beliau juga mengembara ke Jepun, China dan beberapa negara luar beberapa kali untuk menjalankan kempen berkenaan menggunakan wangnya sendiri.

Yuran

Won-chan juga cuba untuk mengajak ramai selebriti termasuk aktres kelahiran Pulau Jeju, Ko Doo-sim sebagai duta kebudayaan jawatankuasa berkenaan bagi menggalakkan lebih ramai rakyat Korea dan bukan Korea untuk mengundi.

"Kami tidak menerima sebarang dana daripada kerajaan negeri. Tapi saya mengeluarkan duit poket sendiri untuk menguruskan jawatankuasa ini. Sumbangan daripada penyokong kempen di seluruh negara turut membantu kewangan kempen Pulau Jeju," kata Won-chan. Pertandingan anjuran Yayasan New7wonders itu yang meletakkan sungai bawah tanah Puerto Princesa di dalam peta pelancongan dunia telah dicemari kontroversi membabitkan jutaan dolar yang didakwa sebagai yuran penyertaan.

Maldives dan Indonesia dikatakan menarik balik penyertaan daripada pertandingan itu dan menuduh pihak penganjur memaksa mereka membayar yuran mengejutkan berjumlah AS$500,000 (RM1,574,500) berdasarkan laporan The Guardian.


PENGUNJUNG menikmati keindahan sungai bawah tanah Puerto Princesa di Filipina.


Bagaimanapun, menerusi e-mel yang dikirim oleh jurucakap Yayasan New7wonders, Eamonn Fitzgerald berkata dakwaan itu tidak berasas.

"Kata kuncinya ialah dakwaan," katanya.

Fitzgerald turut mengemukakan kenyataannya untuk saluran berita Maldives iaitu Minivan News. Beliau memberitahu bahawa New7Wonders terperangkap di dalam politik kedua-dua negara berkenaan.Ketika diminta memberi kenyataan balas, Setiausaha Kerajaan Tempatan dan Pedalaman Filipina, Jesse Robredo yang mengepalai kempen untuk tarikan pelancongan di Palawan berkata, tuduhan itu mengarut.

"Tidak ada dana atau wang akan dikumpulkan semata-mata untuk menyertai pertandingan ini, apatah lagi membabitkan wang jutaan dolar," katanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada saluran berita berkenaan.

Sabtu lalu, yayasan yang berpangkalan di Zurich, Switzerland itu mengumumkan sungai bawah tanah Puerto Pricesa di Palawan sebagai salah satu daripada tujuh keajaiban alam sekitar berdasarkan keputusan undian sementara melalui SMS dan Internet.Dalam pada itu, kerajaan Filipina menjangkakan status baharu itu akan membangunkan industri pelancongan negara berkenaan. Presidennya, Benigno Aquino sendiri menerajui kempen mengundi tapak pelancongan tersebut.

Sungai bawah tanah Puerto Princesa terkenal dengan ciri-ciri saintifik, biologikal dan geologikal telah diumumkan sebagai tapak bersejarah dunia oleh Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada tahun 1999. Ia juga dinamakan sebagai Monumen Geologikal Kebangsaan pada Disember 2003.

Dalam perkembangan lain, senarai keajaiban alam sekitar berkenaan telah menimbulkan kejutan apabila menyingkirkan beberapa tempat pelancongan popular seperti Laut Mati di Israel dan Grand Canyon di Amerika Syarikat (AS) walaupun kedua-dua tempat berkenaan berada dalam senarai 10 finalis yang diumumkan Jumaat lalu.Dalam pada itu, American Society of Civil Engineering (ASCE) pada tahun 1994 telah menyenaraikan tujuh keajaiban dunia moden bagi menghargai pencapaian kejuruteraan awam terhebat pada abad ke-20.


ISTANA Potala yang terletak di Lhasa, ibu kota Wilayah Autonomi Tibet China digelar sebagai mutiara di bumbung dunia kerana keagungan seni binanya.


Kawasan menyelam

Mereka menyenaraikan Terowong Channel di Strait of Dover yang terletak di antara the United Kingdom (UK) dan Perancis, Menara CN di Toronto, Ontario, Canada, Empire State Building di New York, AS, Jambatan Golden Gate di California, AS, Itaipu Dam di Sungai Parana di antara Brazil dan Paraguay, projek pembinaan Delta/Zuiderzee di Netherlands dan Terusan di Isthmus, Panama.

Pada tahun 1989, sebuah organisasi CEDAM membawa panel saintis marin termasuk Dr. Eugenie Clark untuk memilih kawasan-kawasan menyelam yang dianggap paling layak untuk perlindungan.Keputusan yang diumumkan di The National Aquarium di Washington DC oleh pelakon Lloyd Bridges menyenaraikan tujuh kawasan menyelam iaitu Palau, Belize Barrier Reef, Great Barrier Reef, Laut Dalam Vents, Pulau Galapagos, Tasik Baikal dan Laut Merah Utara

Penulis British, Deborah Cadbury menulis mengenai tujuh keajaiban dunia industri iaitu sebuah buku yang menceritakan mengenai kejuruteraan terhebat abad ke-19 dan awal abad ke-20.Buku itu mendedahkan pembinaan SS Great Eastern, rumah api Bell Rock, Jambatan Brooklyn, sistem pembentungan London, landasan rentas benua pertama, terusan Canal dan empangan Hoover.


Sumber: Kosmo Online

P/S: Baru tahu lebih sikit ttg ni.. :)



0 Comment for "Kontroversi Tujuh Keajaiban Dunia Moden"

Terima kasih kerana sudi meninggalkan komen. Komen kalian akan ditapis agar tidak wujud sebarang kekeliruan terhadap entri yang telah disiarkan

Terima kasih tinggal komen kat sini. :)

Back To Top