You don’t have to be big. You have to be remarkable

Bercerai Angkara Facebook

Salam Semua..

Malam ni before tidur online baca berita. Kalau korang baca tajuk entri kat atas tu la tajuk berita yang menarik perhatian aku. Facebook lebih banyak keburukan daripada kebaikan. Lebih-lebih lagi kalau laman sosial di salah gunakan. Minggu lepas dalam kosmo memaparkan berita gadis disihir menggunakan gambar yang diambil daripada akaun facebook miliknya. Minggu ini pula berita tentang penceraian disebabkan oleh facebook. Pendek kata bertemu jodoh di FB seperti Zed Zaidi dan isterinya dan bercerai seperti pasangan Daud dibawah ini. Jom baca.



DAUD, 38, sudah memiliki dua isteri. Bersama isteri pertamanya, Julia, 36, mereka mempunyai empat orang anak. Dengan isteri kedua, Mira, 25, usia perkahwinan mereka masih muda. Mereka berkahwin Mac lalu di negara jiran kerana Daud mengahwininya tanpa pengetahuan Julia. Alasannya, dia tidak mahu isteri pertamanya itu kecewa dengan kecurangan yang dilakukannya.

"Dua tahun lalu saya mendapat tawaran kenaikan pangkat tetapi perlu berpindah ke Johor Bahru.
"Selepas beberapa bulan, bapa mertua saya meninggal dunia dan isteri mohon pulang ke kampungnya di Chukai, Terengganu untuk menjaga ibunya dan meneruskan perniagaan keluarganya.
"Mulanya saya keberatan, tetapi memandangkan ibu mertua saya juga tidak sihat dan tidak ada siapa lagi yang boleh diharapkan, saya relakan. Sejak itu saya hidup membujang," kata Daud yang pulang ke rumah Julia tiga minggu sekali.

Selepas ditinggal beberapa lama, Daud bertemu dengan Mira semasa dia menghantar keretanya ke bengkel.

"Mira gadis yang baik. Perwatakan lembutnya memikat hati saya. Pada awal perkenalan lagi saya berterus terang dengan Mira yang saya sudah berkeluarga namun dia masih ikhlas berkawan.

Kahwin lagi

"Perhubungan kami semakin hari semakin mesra. Dia yang juga berasal dari Terengganu memudahkan komunikasi antara kami.
"Setahun berkawan rapat, kami bersetuju untuk berkahwin. Walaupun keluarga Mira menyuruhnya berfikir tentang hasratnya mengahwini suami orang, Mira tetap dengan keputusannya.
"Mac lalu kami berkahwin di selatan Thailand bagi mengelak perkara ini sampai ke pengetahuan isteri saya," kata Daud.

Pada awal perkahwinan, Daud dan Mira memang pasangan bahagia. Bagaimanapun, kehangatan cintanya pada isteri muda tidak bertahan lama. Selepas beberapa bulan berkahwin, Daud menyedari, Mira sukar bertolak ansur dan cemburu buta.

"Pada mulanya, saya kira itu tanda prihatin. Tetapi semakin lama cemburu Mira menjadi-jadi. Contoh paling mudah ialah ketika saya keluar makan tengah hari.
"Bila saya tidak dapat menjemputnya, macam-macam soalan yang ditanya. Makan di mana, makan dengan siapa, makan apa? Kalau lokasi tempat makan saya jauh dari pejabat, ditanya juga kenapa makan jauh-jauh?
"Bila saya makan di tempat yang eksklusif dengan kawan-kawan tanpa memberitahu dia terlebih dahulu, itu pun boleh menjadi punca dia merajuk.
"Kalau dengan isteri pertama, dia akur kalau saya pulang ke Terengganu tetapi dia tidak boleh terima kalau saya berbelanja besar untuk keluarga di sana, sedangkan di sini, dia perlu membantu saya membayar sewa rumah.
"Saya minta Mira bertolak ansur, tetapi dia merasakan dia sudah banyak berkorban untuk saya tetapi saya tidak pernah menghargainya," kata Daud.

Keadaan cemburu Mira dikatakan semakin teruk menjelang Ramadan lalu. Puncanya, anak pertama saya telah menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) mengatakan betapa dia menyayangi saya kerana membelikan alat permainan PSP yang harganya RM1,200.

"Apabila Mira dapat tahu, dia naik angin. Dia lepaskan geramnya dalam Facebook. Dia kata, dia banyak korbankan keinginannya kerana saya, tetapi saya pula boleh menghadiahkan benda yang mahal untuk anak saya yang berusia 10 tahun.
"Dalam ramai rakan yang memberi komen, ada komen daripada bekas kekasihnya. Saya mula rasa tidak senang. Saya yang memang mempunyai kata laluan untuk akaun e-mel Mira cuba menyelidik.

Bekas kekasih

"Rupa-rupanya, Mira sudah lama berhubung semula dengan bekas kekasihnya itu dan mengadu tentang kekangan kewangan yang saya hadapi.
"Dalam diam rupanya Mira pernah menerima wang daripada lelaki itu dan mereka keluar beberapa kali.
"Apabila saya bangkitkan perkara ini dengan Mira, dengan selamba dia mengaku. Katanya, dengan saya hidupnya payah.
"Saya menegurnya. Selama ini bukan saya tidak memenuhi keperluan membeli-belahnya, tetapi apabila setiap kali menuntut barangan berjenama, saya enggan melayan.
"Hubungan kami mula dingin. Saya tidak lagi memintanya membayar sewa rumah. Semuanya saya tanggung sendiri.
"Syawal lalu, kami bergaduh lagi. Kali ini sebabnya saya perlu tinggal lebih lama di rumah isteri pertama kerana anak bongsu saya sakit. Tambahan pula, mereka belum mengetahui tentang perkahwinan kedua saya.
"Tetapi Mira tidak boleh menerimanya. Dia mengugut untuk kembali kepada bekas kekasihnya jika saya tidak pulang ke rumah ibunya. Di rumah ibunya, bersaksikan ibu bapanya, Mira minta saya menceraikannya.
"Dia tidak betah lagi hidup bermadu. Alasannya saya melebih-lebihkan keluarga isteri pertama sedangkan hidup dengannya serba-serbi tidak cukup.
"Saya terkilan dengan sikap kurang sabarnya. Kami bergaduh besar hari itu. Saya bangkitkan hubungannya dengan kekasih lama.
"Kami saling salah-menyalah. Mira nekad mahu dilepaskan. Akur dengan kehendaknya, petang raya keempat itu, saya ceraikan Mira dengan talak satu," jelas Daud.

Sumber: Kosmo Online

P/S: Tepuk Dada Taaripada sendiri. Semoga kita semua dijauhkan daripada situasi sebegini. Amin.
0 Comment for "Bercerai Angkara Facebook"

Terima kasih kerana sudi meninggalkan komen. Komen kalian akan ditapis agar tidak wujud sebarang kekeliruan terhadap entri yang telah disiarkan

Terima kasih tinggal komen kat sini. :)

Back To Top