Special Offer

Author

Tulis Wasiat Bukan Doa Untuk Mati

Salam Semua...

Ari ni menimba ilmu pasal wasiat sikit.. Kebetulan dpt klien yang da mati dan hak perlu dipulangkan kepada waris.. Tapi mcm mane nk trace waris sebab tak de wasiat.. Sebut pasal wasiat je semua org relate dengan mati.. Mula la menerjah difikiran dengan perasaan kurang enak dan "mungkin tak lama lagi"-- Buat wasiat bukan doa untuk mati cepat.. Korang baca la info kat bawah ni..


Bayangkan benteng kekeluargaan yang dibina dengan kasih sayang, tolong menolong dan hormat- menghormati tiba-tiba roboh begitu sahaja. Keluarga berpecah-belah kerana satu perkara yang seharusnya boleh diselesaikan secara musyawarah iaitu wasiat.

Wasiat yang tidak diurus dengan baik boleh menyemarakkan perasaan benci sehingga ada anggota keluarga sanggup bergaduh dan berbunuhan kerana berebutkan harta pusaka.

“Itulah realiti yang berlaku dalam institusi kekeluargaan setiap kali berhadapan dengan soal pembahagian harta pusaka.

“Kita tidak boleh menafikan kebanyakan manusia mempunyai sikap mementingkan diri atau tamak. Manusia adakalanya sanggup melupakan tali kekeluargaan hanya kerana harta.”

Demikian akui Ketua Pegawai Eksekutif Amanah Raya Legacy Services Sdn. Bhd., Rafie Omar mengenai kepincangan keluarga yang berlaku disebabkan perebutan harta pusaka.Ini berlaku apabila seseorang menghembuskan nafas terakhir tanpa meninggalkan wasiat.

Dalam masyarakat Melayu, wasiat adalah sesuatu yang agak tabu untuk dibincangkan dalam keluarga.Anak-anak yang mengusulkan wasiat dibuat biasanya dituduh sebagai derhaka kerana seolah-olah mahu ketua keluarga segera meninggal dunia.

Tetapi hakikatnya, pada zaman ini, wasiat tidak seharusnya dilihat dari sudut negatif. Mengapa? Menurut Rafie, jika tiada sebarang penulisan wasiat, ia akan menimbulkan banyak masalah dalam sesebuah keluarga pada kemudian hari. Hari ini kebanyakan kita mempunyai pelbagai harta contohnya rumah, kenderaan mahupun akaun simpanan. Apabila ia tidak diwasiat, di sinilah timbulnya perbalahan keluarga.Antaranya ialah ahli keluarga akan mengalami kesempitan wang kerana pengagihan harta tanpa wasiat mengambil tempoh yang panjang.

Perlu diketahui ketika tempoh mentadbir harta pusaka, waris tidak akan mendapat harta, walaupun satu sen. Ini kerana semua harta si mati dibekukan termasuklah wang simpanan dalam bank.Ia tidak boleh dikeluarkan selagi pentadbiran harta pusaka masih belum selesai.

Selain itu, tanpa wasiat juga sering berlaku penganiayaan terutamanya ke atas pewaris muda.

“Apabila berlaku kematian, harta pusaka si mati akan menjadi hak milik ahli waris. Oleh itu, pewaris yang lebih tua akan bertindak selaku pentadbir mewakili ahli keluarga yang masih kecil,” ujarnya ketika ditemui

KOSMO!, di pejabat Amanah Raya Berhad (ARB), Jalan Ampang, Kuala Lumpur.Sekiranya anak yang tua berlaku adil dan faham akan pembahagian harta yang telah ditetapkan oleh Allah dalam surah An Nisa’ (ayat 7, 11, 12 dan 176), maka pembahagian harta dapat diagihkan dengan mudah.

Namun begitu kebanyakan waris tua tidak memahami pembahagian harta pusaka yang telah ditetapkan oleh surah tersebut. Kesannya, waris kecil teraniaya dan tertindas gara-gara harta milik mereka jatuh ke tangan individu yang tidak sepatutnya.Bagi umat Islam yang bimbang masalah perebutan harta pusaka berlaku dan memecah-belahkan hubungan persaudaraan, anda dinasihatkan membuat surat wasiat, sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Sebagai manusia, kita tidak dapat menjangka atau mengetahui tarikh kematian. Oleh itu, penting bagi kita untuk membuat persediaan wasiat dengan kadar segera dan seawal yang mungkin.Ia bertujuan agar harta peninggalan dapat disalurkan kepada individu yang dikehendaki oleh si mati, terutamanya mereka yang memiliki anak angkat. Ini kerana harta yang ditinggalkan tanpa wasiat, secara automatiknya diberikan kepada pewaris keluarga mengikut faraid.

Hukum faraid yang berlandaskan syariat Islam menekankan bahawa harta si mati perlu diagihkan mengikut kedudukan hierarki waris seperti ibu bapa, suami, isteri, anak lelaki, anak perempuan, cucu lelaki, cucu perempuan dan sebagainya.

Selain itu, hukum faraid juga menyatakan anak angkat atau keluarga bukan Islam tidak boleh mewarisi harta umat Islam, kecuali ia tertera pada wasiat.Bagi wasiat orang yang bukan beragama Islam pula, pembahagian harta pusaka boleh diwasiatkan mengikut hasrat dan keinginan pewasiat kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki.

“Jika orang bukan Islam tidak membuat wasiat maka harta pusakanya akan dibahagikan mengikut Akta Pembahagian 1958,” kata Rafie.

Siapa yang patut menyediakan wasiat?

Tambah Rafie lagi, individu yang sudah menjangkau umur 18 tahun ke atas dan berfikiran waras sudah boleh membuat wasiat.

“Mereka yang memiliki harta seperti harta alih mahupun tidak alih seperti akaun simpanan dan semasa di bank seperti Akaun Amanah Saham, Akaun Lembaga Tabung Haji, tanah dan rumah sudah boleh menyediakan wasiat, ” jelasnya Rafie lagi.

Bukan itu sahaja, individu yang berpoligami, saudara baru, memiliki anak angkat atau pasangan berkahwin yang tiada zuriat turut diberi penekanan supaya menulis wasiat.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan ARB, tidak dapat dinafikan kesedaran masyarakat negara ini terhadap kepentingan wasiat masih lagi rendah.

Laporan statistik ARB dari tahun 1998 hingga tahun 2007, menunjukkan agensi itu telah menguruskan 21,033 wasiat orang beragama Islam manakala bagi golongan bukan beragama Islam angka tersebut sekitar 8,222 orang.

Tulis testamen bukan doa cepat mati
Setiap kali disuruh oleh anak-anak untuk menyediakan wasiat atau testamen harta pusaka, ibu bapa pasti melenting kerana menyangkakan anak-anak mereka tamakkan harta.

“Ramai yang salah faham dengan penyediaan surat wasiat. Mereka menganggap menulis surat wasiat ketika masih sihat dan bertenaga, seolah-olah meminta mereka (ibu dan bapa) cepat menuju saat-saat kematian.

“Kira-kira 80 peratus masyarakat Melayu masih belum menyedari tentang penyediaan wasiat. Mereka berpendapat apabila wasiat sudah dilakukan maka secara automatiknya harta tersebut menjadi hak milik si pewaris. Sedangkan pada hakikatnya, wasiat hanya berkuatkuasa selepas si pewasiat meninggal dunia,” jelas Rafie lagi.

Selain itu, harta yang mempunyai penama seperti dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau insurans juga sering disalah ertikan oleh orang ramai.

“Individu yang dilantik atau dipilih menjadi penama ke atas KWSP atau dokumen yang lain, bukanlah pewaris tunggal yang akan mendapatkan sepenuhnya harta tersebut.

“Mengikut Fatwa Majlis Kebangsaan pada tahun 1973, penama hanyalah sebagai pentadbir (wasi) bagi harta yang ditinggalkannya. Selepas mendapat harta si mati, penama perlu mengagihkan harta tersebut kepada ahli waris lain mengikut faraid,” jelasnya yang menambah seharusnya penama mempunyai sifat amanah dan tahu membahagikan harta.


Banyak kes menunjukkan penama tidak amanah dan membolot harta pusaka si mati. Penyelewengan harta pusaka telah mengakibatkan ada waris yang teraniaya.

Ramai orang meletakkan penama di kalangan ahli keluarga yang terdiri daripada ayah, ibu, isteri dan sebagainya. Tetapi kita harus ingat, mereka juga akan meninggal dunia dan kemungkinan meninggal dunia dahulu daripada kita.

Penulisan wasiat adalah penyelesaian kerana dalam wasiat, kita boleh melantik pentadbir bagi harta kita. Jika seseorang menulis wasiat di ARB, mereka menyediakan tiga perkhidmatan serentak iaitu penulisan wasiat, penyimpanan dan pelaksanaan wasiat.

ARB akan bertindak sebagai pentadbir bagi harta-harta tersebut. Oleh itu, isu dan masalah penama yang tidak amanah atau membolot harta pusaka tidak akan berlaku.
Kepada anda yang ingin memberikan harta anda kepada rakan-rakan, masjid, sekolah, jiran atau persatuan, anda boleh melakukan sedemikian, asalkan ia tidak melebihi satu pertiga daripada harta anda.
“Untuk merealisasikan impian tersebut, pastikan anda menulisnya dalam wasiat kerana jika tiada sebarang catatan dalam wasiat, harta-harta anda hanya diberikan kepada ahli keluarga,” ujar Rafie

Sumber: Kosmo Online

P/S: Harta boleh buat keluarga bergaduh.. Cari harta sendiri la

0 Komentar untuk "Tulis Wasiat Bukan Doa Untuk Mati"

IKLAN


PopAds.net - The Best Popunder Adnetwork
Back To Top